Islam sebagai agama suci menekankan dengan bersungguh-bersungguh ke arah melahirkan sebuah keluarga penyayang, lantaran daripada keluarga penyayang itulah nanti akan terbentuk sebuah masyarakat dan negara yang kukuh, mantap dan sejahtera.
Keluarga penyayang dalam Islam secara ringkas mempunyai lima asas penting iaitu:
a. Kasih sayang antara suami dan isteri
b. Kasih sayang antara ibu bapa dengan anak
c. Kasih sayang antara anak dengan ibu bapa
d. Kasih sayang terhadap saudara/jiran tetangga
e. Kasih sayang terhadap masyarakat, seluruh manusia dan negara
Undang-undang Islam melarang sekeras-kerasnya pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan bukan muhrim, kerana pergaulan sedemikian lebih banyak membawa keburukan. Melalui pergaulan bebas yang tidak diikat dengan pernilakan sudah tentu akan melahirkan kasih sayang yang hanya bersandar kepada hawa nafsu semata-mata, hasil daripadanya, akan menjuruskan masyarakat ke arah perzinaan, kelahiran anak luar nikah, pengguguran serta pembuangan anak sewenang-wenangnya seperti yang banyak berlaku dalam masyarakat kita hari ini.
Islam menggariskan ketetapan bahawa unsur kekeluargaan yang murni mestilah bertolak daripada perkahwinan yang halal, supaya jalinan kasih sayang antara suami dan isteri dapat dilakukan dengan bersih dan bertatasusila. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam Surah al-Rum, ayat 21 yang bermaksud:
"Antara tanda kebesaran Allah, Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram
kepadanya dan dijadikan-Nya antara kamu rasa kasih dan sayang."
Dalam sebuah hadis Nabi Muhammad saw bersabda: "Dunia ini adalah sebahagian daripada tempat kesenangan, maka sebaik-baik kesenangannya adalah wanita dan isteri yang solehah."
Dalam sebuah hadis lain, Nabi Muhammad saw bersabda: "Orang mulia antara kamu adalah mereka yang berlaku baik kepada keluarganya, sebab aku sendiri pun berlaku paling baik terhadap keluargaku sendiri."
Daripada perkahwinan antara suami/isteri sudah tentu nantinya akan lahir zuriat keturunan dan anak, yang mana anak adalah amanah daripada Allah yang perlu dididik dengan sempurna seperti yang diterangkan dalam dua hadis. Sabda Nabi Muhammad saw:
"Wajib atas kamu memberi nafkah (sara hidup) kepada mereka dan pakaian mereka yang munasabah" dan "Seseorang itu akan berdosa dengan sebab dia mensis-siakan mereka yang menjadi tanggungannya."
Berbanding anak luar nikah yang terbiar dan tersisih, anak yang lahir daripada hubungan suami isteri yang halal akan mempunyai tempat pergantungan yang selamat, maka kepada kedua-dua ayah dan ibu diletakkan tanggungjawab memberikan pendidikan, asuhan, kasih sayang sempurna. Sabda Nabi Muhammad saw:
"Tiap-tiap kanak-kanak dilahirkan atas fitrah (sifat semula jadi untuk menerima Islam), maka kedua ibu bapanya yang bertanggungjawab mengyahudikannya, mengnasranikannya atau memajusikannya."
Menerusi firman Allah swt dalam surah al-Tahrim, ayat 6 ditegaskan pula:
"Wahai orang yang beriman jagalah diri kamu dan keluarga kamu daripada azab api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya Malaikat-Malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan ."
Seperti ibu bapa memberikan kasih sayangnya kepada anak-anak, demikianlah juga Islam menganjurkan supaya anak-anak ikut memberikan kasih sayang mereka terhadap kedua-dua ibu bapa. Dari apa yang selalu kita dengar, 'sesungguhnya syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu'.
Dengan menyayangi dan mengasihi ibu bapa, di samping mematuhi segala suruhan dan nasihat keduanya, berkata-kata dengan mereka perlu menggunakan bahasa yang lemah lembut serta beradab, tidak menyinggung perasaan mereka dengan perkataan bernada bengis, kasar dan kesat. Ia akan menunjukkan bukti kesyukuran dan rasa terima kasih kita terhadap budi mereka yang sudah bersusah payah mendidik dan membesarkan kita. Islam menegaskan antara dosa besar ialah perbuatan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Melalui surah an-Nisa, ayat 36 Allah berfirman yang bermaksud:
"Sembahlah Allah jangan menyekutukannya serta kepada kedua-dua ibu bapa hendaklah kamu berbuat baik."
Nabi Muhammad saw pula bersabda:
"Keredaan Allah bergantung kepada keredaan ibu bapa, manakala kemurkaan Allah juga bergantung kepada kemurkaan ibu bapa.
Betapa tingginya nilai keberkatan kasih sayang seseorang anak terhadap ibu bapanya sudah diterangkan oleh Islam melalui sebuah hadis yang sudah kerap kali kita dengar iaitu:
"Apabila mati seseorang Muslim, maka terputuslah hubungannya kecuali tiga perkara yang boleh menyelamatkannya iaitu amalan, sedekah jariah dan doa anak yang soleh."
Islam sentiasa menganjurkan supaya umatnya menjalinkan hubungan kasih sayang dan bermuhibah antara satu dengan lain. Kasih sayang itu bukan sekadar perlu dipupuk antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak serta anak dan ibu bapa saja, tetapi silaturahim terhadap saudara yang lain termasuk jiran tetangga juga sangat digalakkan oleh Islam kerana hasil daripada ikatan kemesraan itu nanti akan tumbuhnya kekuatan ummah yang padu. Ini jelas disebutkan oleh Nabi Muhammad saw dalam hadis yang bermaksud: "Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia mengasihi saudara serta jiran tetangganya sama seperti dia mengasihi dirinya sendiri." Selain itu Nabi Muhammad saw juga bersabda: "Mereka yang baik antara kamu ialah Muslim yang menyelamatkan Muslim lain daripada angkara jahat oleh perbuatan lidah dan tangannya."
Kasih sayang yang dianjurkan Islam juga terbukti dengan amalan mewajibkan kita menunaikan zakat dan fitrah kerana mana melalui amalan zakat fitrah mereka yang kaya akan dapat membantu golongan orang miskin dan daif. Alam sebuah hadis Nabi Muhammad saw bersabda: "Tidaklah sempurna iman seseorang Muslim jika pada masa dia bahagia dan kenyang tetapi di sebalik dinding masih ada jiran tetangganya yang berdukacita dan lapar." Manakala dalam sebuah hadis yang lain Nabi Muhammad saw bersabda: "Amat besar pahala yang akan diberikan kepada seseorang Muslim yang apabila bau masakannya tercium oleh jiran sebelah lalu dia bergegas untuk menyedekahkannya semangkuk."
Kasih sayang terhadap masyarakat dan seluruh manusia serta kecintaan kita kepada negara juga digalakkan oleh Islam. Dari apa yang pernah kita dengar 'cintakan negara juga adalah sebahagian daripada iman'.
Bagi menjamin kerukunan hidup bermasyarakat, Islam juga menegah kita daripada melakukan kemudaratan terhadap kebahagiaan serta kesentosaan umum dengan melarang kita mengumpat, bercakap bohong, berhasad dengki sesama manusia, menjatuhkan maruah orang lain, mencuri, merompak, menganiaya sesama insan serta membunuh orang.
Sehingga oleh kerana terlalu besar nilai penyayang dan kecintaan Islam terhadap hubungan baik sesama masyarakat manusia, maka memberikan senyuman dan mengucapkan salam kepada orang lain serta tolong mengubahkan ranting kayu atau batu daripada menghalangi perjalanan lalu lintas orang ramai pun akan diberikan pahala sedekah.
0 ulasan:
Catat Ulasan